PERSEFAHAMAN KAUM

Umum mengetahui bahawa, Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, India, Cina dan lain-lain. Masyarakat Malaysia hidup dengan aman dan harmoni walaupun bercampur dengan pelbagai bangsa, agama, budaya dan adat. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mampu hidup secara toleransi dan bertolak ansur.Perpaduan yang kukuh dan kuat antara masyarakat mampu menyumbang kepada kejayaan dan kecermerlangan bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara. Tanpa perpaduan, sudah pasti kemerdekaan yang diperoleh negara akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia?

Terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Antaranya mengadakan majlis-majlis rumah terbuka. Pelbagai perayaan yang disambut oleh masyarakat seperti sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan banyak lagi. Melalui sambutan hari-hari tertentu ini, mereka akan saling berkunjung ke rumah kawan masing-masing. Sebagai contohnya, masyarakat India yang menyambut perayaan Deepavali akan mengundang kawan mereka yang berlainan bangsa berkunjung ke rumah mereka. Mereka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malahan dapat merasa dan menikmati juadah tradisional bangsa lain. Mereka dapat berkenalan dengan saudara kawan mereka yang lain. Oleh itu, amat digalakkan untuk mengadakan sambutan rumah terbuka.

Seterusnya, rakyat haruslah bergaul dengan kaum lain. Dalam keadaan ini, ibu bapa perlulah sentiasa menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum dan bangsa.

Selain itu, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan terhadap pelajar agar dapat bergaul sesama mereka. Dalam hal ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah dan lain-lain. Perkara ini dapat mewujudkan sifat kerjasama dan saling bantu-membantu antara mereka terutamanya yang berlainan kaum. Secara tidak langsung perpaduan dapat diperkukuhkan.

Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan mereka dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan bangsa. Mereka akan saling berkenal kenalan satu sama lain apabila berjumpa. Masyarakat harus bijak mengambil peluang untuk bertegur sapa dan berkenalan dengan masyarakat luar semasa aktiviti-aktiviti ini. Hal ini disebabkan masyarakat selalu sibuk dengan kerja masing-masing sehingga terlupa akan sifat kejiranan mereka.

Kesimpulannya, masyarakat haruslah bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, adat bagi melahirkan negara yang aman tanpa sebarang masalah. Masyarakat mampu menyebabkan jatuh dan bangunnya sesebuah negara. Oleh itu, sama-samalah kita berganding bahu dalam mencapai perpaduan yang kukuh.

Ulasan

Catatan Popular